KUALA LUMPUR: Salah seorang daripada rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir dahsyat di Nepal difahamkan akan melangsungkan ikatan pertunangan dua minggu lagi.
Perkara itu dimaklumkan seorang pengguna Threads emyliatahar yang dipercayai bakal tunang kepada rakyat Malaysia dikenali sebagai Zaki berkenaan.
“Zaki, wherever you are, please be safe. Kita kan nak bertunang lagi 2 minggu…Jangan buat saya tunggu lama sangat. Please come home safely.
“Setiap saat saya doa pada Allah, semoga korang bertiga baik-baik saja, semoga Allah lindungi korang dalam setiap langkah dan kuatkan korang untuk terus bertahan.
“Ya Allah, kalau mereka sesat, tunjukkan jalan pulang. Kalau mereka dalam kesusahan, permudahkan. Kalau mereka kesejukan dan ketakutan, jagakan mereka.
“Zaki, Muhaimin, Adib — please come home. Ramai yang tunggu korang,” tulisnya di akaun Threads malam tadi.
Terdahulu, dalam hantaran berbeza sebelum ini, emyliatahar memaklumkan, tiga rakannya yang dikenali sebagai Zaki; Muhaimin dan Adib antara yang gagal dihubungi susulan kejadian banjir tersebut.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka sepatutnya mendaki gunung di Langtang Valley, Nepal sejak 26 Ogos lalu.
“3 orang kawan kami masih belum dapat dihubungi. Supposedly diorang bertiga hiking di Langtang Valley, Nepal sejak semalam 26/8.
“Last message pada 10:42 pagi (waktu Malaysia), dan last location yang dikesan adalah berdekatan Bokhe Koshi.
“Please pray for their safety,” tulisnya menerusi hantaran di Threads tiga hari lalu.
Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, seramai 91 rakyat Malaysia, terdiri daripada 55 di Nepal dan 36 di China, dilaporkan masih belum dapat dihubungi setakat 8 malam tadi, susulan banjir yang melanda pada 26 Ogos lalu. – MalaysiaGazette
















