SERI KEMBANGAN- Bukan sekadar pulut yang terbentang sepanjang lebih 640 meter, tetapi turut terjalin semangat 120 wanita ‘kulinari’ dari seluruh negara yang berganding bahu mengangkat warisan makanan tradisional dan meraikan perpaduan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Lebih manis, usaha itu berjaya mencipta rekod apabila mendapat pengiktirafan ASEAN Records dan ASIA Records, sekali gus menjadikan Pulut Semangat sebagai simbol kebersamaan wanita Malaysia.

Presiden Persatuan Chef Wanita Malaysia, Chef Renuka Devi Ramachandran berkata, idea menghasilkan Pulut Semangat itu tercetus daripada keinginan untuk menghidupkan kembali warisan makanan yang semakin dilupakan, selain menghimpunkan wanita dalam bidang kulinari dari seluruh negara.
“Objektif projek ini adalah untuk memartabatkan wanita dalam bidang kulinari. Kami mahu menggabungkan semua wanita, bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh Malaysia.

“Pulut dipilih kerana ia adalah antara warisan yang semakin ditinggalkan dan dilupakan. Jadi, kami mahu mengangkatnya semula sebagai simbol semangat dan kebersamaan,” katanya kepada MalaysiaGazette pada kemuncak program, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan Naib Presiden Persatuan Chef Wanita Malaysia, Fazalina Ismail.
Renuka berkata, projek yang pada awalnya menyasarkan penghasilan Pulut Semangat sepanjang 500 meter itu akhirnya melepasi sasaran apabila mencapai lebih 640 meter menerusi lapan lorong.
Katanya, pencapaian itu tidak mungkin terhasil tanpa kerjasama peserta yang datang dari Selangor, Sabah, Sarawak, Johor, Perlis, Melaka dan Terengganu.
“Sebanyak 1,200 kilogram beras pulut digunakan. Persiapan pula bermula sejak 29 Ogos membabitkan kerja pembersihan, penyediaan bahan, mencuci, merebus dan mengukus sebelum proses penyediaan diteruskan,” katanya.
Renuka berkata, pengiktirafan yang diterima bukan matlamat utama program berkenaan, sebaliknya lebih penting ialah peluang untuk menghimpunkan wanita daripada pelbagai negeri dalam satu usaha yang membawa mesej kebersamaan.
“Tujuan kami bukan untuk bermegah atau mengejar sijil. Matlamat yang lebih besar ialah untuk bersatu dan menghargai wanita yang selama ini bertungkus-lumus tetapi tidak semestinya mendapat penghargaan,” katanya.
Sementara itu, Wong Siew Ki menyifatkan program berkenaan sebagai contoh bagaimana aktiviti berasaskan komuniti mampu mengeratkan silaturahim dan menyemarakkan semangat perpaduan tanpa mengira latar belakang.

Beliau berkata, kerjasama antara Persatuan Chef Wanita Malaysia dan komuniti Seri Kembangan membuka ruang kepada penduduk setempat untuk keluar daripada rutin harian dan bersama-sama meraikan sambutan kemerdekaan.
“Program sebegini sepatutnya diperbanyakkan supaya lebih ramai penduduk dapat bersama-sama menyertai aktiviti yang mengeratkan hubungan dan meraikan perpaduan.
“Tidak semestinya kita perlu menganjurkan program untuk memecahkan rekod. Apa yang lebih penting ialah program yang memberi manfaat kepada penduduk tanpa mengira kaum, agama, bangsa atau jantina,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua persatuan dan agensi yang terbabit dalam menjayakan program berkenaan serta berharap lebih banyak program kemasyarakatan dapat dianjurkan pada masa akan datang. – MalaysiaGazette
















