KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menyangkal kenyataan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali yang mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memalukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Persidangan Agung UMNO (PAU) 2026.
Naib Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, apa yang diucapkan oleh Ahmad Zahid di hadapan perwakilan UMNO itu adalah mengenai kepentingan dan masa depan parti tersebut.
Ujarnya, ia merupakan tanggungjawab seorang Presiden kepada kira-kira 3.2 juta ahli UMNO, sekali gus bukan satu kesalahan yang memerlukan keizinan DAP.
“Dalam ucapan yang sama, Presiden UMNO turut menegaskan dengan jelas bahawa UMNO akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
“Mungkin bahagian itu tidak dibaca oleh Senator berkenaan, atau sengaja diketepikan kerana fakta tersebut meruntuhkan naratif politik yang cuba dijualnya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Tambah beliau, UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan sebagai sebuah parti yang mempunyai maruah, pendirian dan suara, bukan sebagai penumpang yang perlu diam, tunduk dan mengangguk kepada setiap kehendak DAP.
Katanya, Kerajaan Perpaduan dibina atas semangat permuafakatan dan saling menghormati, bukannya dominasi mana-mana parti terhadap parti yang lain.
Sehubungan itu, ujar beliau, menyuarakan kebimbangan rakyat terhadap pelaksanaan sesuatu dasar bukanlah perbuatan menentang kerajaan.
“Itulah tanggungjawab seorang pemimpin yang mendengar denyut nadi rakyat. Jangan kerana tidak selesa ditegur, semua pandangan berbeza mahu dilabel sebagai pengkhianatan.
“Jika setiap pemimpin yang menyuarakan keresahan rakyat mesti meletakkan jawatan, maka banyak kerusi dalam kerajaan perlu dikosongkan, termasuk beberapa kerusi yang sedang diduduki oleh pemimpin DAP sendiri,” katanya.
Lebih serius, tambah beliau, tindakan menyenaraikan pemimpin UMNO yang kononnya `lebih komited’ dan layak menggantikan Ahmad Zahid merupakan taktik pecah dan perintah yang amat mudah dibaca.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemimpin DAP berkenaan supaya tidak cuba melagakan pemimpin UMNO sesama sendiri.
“Mereka yang disebut itu berdiri di atas landasan, perjuangan dan kepimpinan parti yang sama,” katanya.
Terdahulu, Sheikh Umar dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan individu yang sepatutnya meletakkan jawatan daripada Kabinet Kerajaan Perpaduan ialah Ahmad Zahid, bukannya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Ini kerana, Sheikh Umar mendakwa Ahmad Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri telah memalukan Anwar pada PAU 2026 baru-baru ini.
Malah, beliau turut menyarankan Anwar melucutkan jawatan Ahmad Zahid dan digantikan dengan pemimpin UMNO lain iaitu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin atau Datuk Seri Johari Abdul Ghani. – MalaysiaGazette
















