Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Majlis Peluncuran Laman Padi sempena MAHA 2026 di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2026.

SERDANG – Malaysia tidak seharusnya memandang ringan soal keterjaminan makanan ketika rakyat masih menikmati bekalan makanan yang mencukupi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Datuk Seri Mohamad Sabu. berkata, situasi yang berlaku di Gaza perlu menjadi peringatan makanan boleh menjadi perkara paling berharga apabila bekalan terputus atau kehidupan manusia berdepan krisis.

“Waktu makanan ini kita ada lebih, kita kadang-kala sombong dan boros,” katanya ketika berucap meluncurkan Laman Padi dan Pengiktirafan The Malaysia Book of Records sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika melakukan lawatan pada Majlis Peluncuran Laman Padi sempena MAHA 2026 di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2026.

Mohamad berkata, keadaan penduduk Gaza yang terpaksa mengutip dan mengasingkan makanan bercampur pasir selepas bekalan gandum tumpah menggambarkan betapa kritikalnya nilai makanan ketika manusia berada dalam keadaan terdesak.

“Bila gandum yang dibawa itu tumpah, mereka kaut dan mereka ayak buang pasir untuk mereka makan yang tumpah itu. Makanan berada dalam keadaan sebegitu rupa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membazir nasi sebagaimana nasihat generasi terdahulu yang menghargai setiap butir makanan.

Katanya, dahulu masyarakat mengambil masa sekitar enam bulan untuk menghasilkan padi manakala perkembangan teknologi kini membolehkan tempoh berkenaan dipendekkan kepada kira-kira tiga hingga empat bulan.

“Dulu, bila kita makan nasi, tumpah dia ke lantai, ibu kita ingatkan kutip nasi itu kerana sebiji nasi itu menunggu enam bulan untuk mendapat sebiji nasi,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman melalui zaman peperangan juga tidak dirasai oleh kebanyakan generasi hari ini, menyebabkan kesedaran mengenai kepentingan keterjaminan makanan mungkin tidak setinggi generasi terdahulu.

Justeru, beliau berkata keterjaminan makanan perlu dilihat sebagai agenda strategik negara dan bukan sekadar isu pengeluaran pertanian.

“Kita sedang membina masa depan keterjaminan makanan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here