MERSING – Dua maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan bot dalam kejadian berhampiran Jeti Kastam Mersing di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan I Mohamed Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 9.04 malam.
Susulan itu seramai sembilan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Fire Response Vehicle (FRV) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya tiga kilometer.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati kemalangan melibatkan dua buah bot membabitkan enam mangsa.
“Daripada jumlah tersebut, empat mangsa mengalami kecederaan manakala dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Pihaknya masih melakukan operasi ketika ini dan punca siasatan masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan ketika ini masih dalam siasatan.
“Sebarang kenyataan atau perkembangan akan dimaklumkan kemudian,” katanya. – MalaysiaGazette
















