Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap pada media sebelum bermula Mesyuarat Majlis Tertinggi Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 03 MEI 2024.

KUALA LUMPURKementerian Perladangan dan Komoditi memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas kepada peruncit, pemborong dan pengimport di negara ini yang menjual, mengedar atau mengimport produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk kelapa sawit.

Menterinya, Datuk Seri Johari Ghani berkata, ia berdasarkan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 yang akan dikenakan kepada golongan itu.

Menurut beliau, kementeriannya juga meminta kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam menangani isu tersebut.

“Sudah berpuluh tahun kelapa sawit tetapi ada orang datang hendak diskrimanasi dengan pembungkusan produk yang tidak ada kena mengena dan mengapa kita benarkan ia berlaku di negara ini.

“Kementerian mahu tekankan bahawa kita kini lebih serius memerangi produk yang memboikot hasil kelapa sawit di dalam negara.

“Saya ingin memberi amaran ini kepada peruncit, pemborong dan pengimport yang kita akan tegas kuatkuasakan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 kepada mereka.

“Malah, selepas ini kementerian akan memaklumkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk lebih tegas dan teliti dalam pemeriksaan produk yang masuk ke negara ini berkaitan pelabelan boikot produk kelapa sawit,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap pada media sebelum bermula Mesyuarat Majlis Tertinggi Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 03 MEI 2024.

Beliau memberi amaran itu susulan tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kedai serbaneka di Presint 3 di Putrajaya semalam kerana disyaki menjual produk makanan tertera perkataan “No Palm Oil” (NPO) atau “Tiada Minyak Sawit” pada plastik pembungkusan produk itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, serbuan pada pukul 11.45 pagi itu dilakukan berdasarkan aduan awam yang diterima KPDN.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menemukan produk aiskrim pelbagai perisa yang mempunyai pernyataan NPO.

Kesemua produk aiskrim terbabit telah disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan berjumlah RM897.60.

Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM70 juta untuk kempen menangani anti minyak sawit. – MalaysiaGazette