KUALA LUMPUR – Pesta hiburan di atas gerabak keretapi milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang dianjurkan sebuah entiti, Pinkfish Express disifatkan melampaui batas.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, pesta tersebut bertentangan dengan budaya ketimuran yang mengutamakan nilai tatasusila, kesopanan dan hiburan sederhana.

Bahkan, katanya, budaya berhibur melampaui batas seperti menghadiri kelab malam seperti mana ditonjolkan oleh pesta hiburan ini pada 16 Mei lepas, tidak mencerminkan nilai Rukun Negara dan mencemarkan nama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang merupakan aset negara bersejarah.

“Walau apa jua alasan digunakan bagi menjustifikasikan program ini, seperti contohnya bagi tujuan penjanaan kewangan, ia tetap tidak boleh diterima dan dilihat bertentangan dengan falsafah Malaysia Madani dibawakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan.

“KTMB merupakan salah satu daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berada bawah Kementerian Kewangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Lantaran itu, Pas mencadangkan agar siasatan dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan akan punca bagaimana program sebegini boleh diluluskan melihatkan ketidakwajaran aktiviti maksiat sebegini dinormaliasikan menggunakan syarikat berkaitan kerajaan yang mempunyai simbolik begitu penting bagi imej dan maruah negara.

Tambahnya, PAS menggesa agar aktiviti yang melampaui batas dan mencemarkan imej KTMB ini tidak wajar diteruskan.

Sebalikya, imej KTMB serta pengamalan budaya hiburan yang sederhana tanpa dicedok daripada mana-mana negara Barat harus dipertahankan dalam negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk.

Ahmad Fadhli menegaskan, hiburan bukanlah sesuatu yang dilarang buat rakyat Malaysia dan umat Islam namun Islam hadir membawakan garis panduan yang komprehensif dalam mengisi naluri manusia yang berkehendakkan kepada hiburan.

“Sederhana dalam berhibur adalah kunci kepada kemajuan,” ujarnya. – MalaysiaGazette