Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) yang juga Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa (dua kiri) bersalaman bersama tetamu kehormat selepas Perasmian Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 di Sunway Resort Hotel Petaling Jaya. Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 07 MEI 2024.

PETALING JAYA – Perdana Menteri menegaskan Persidangan Pemimpin Agama Antarabangsa (ICRL) 2024 yang dihadiri tokoh daripada pelbagai agama bukan bermaksud Malaysia mempromosikan pandangan liberal mahu pun pluralisme agama.

Sebaliknya Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, persidangan berkenaan bertujuan untuk menyemai kefahaman dan saling hormat-menghormati meskipun berbeza agama.

“Ada yang kata kenapa anjurkan persidangan seperti ini? Adakah kamu sokong pandangan liberal atau pluralistik? Tidak..Kami tidak promosikan liberalisme, tidak.  Kami promosikan Lita’arafu, kami promosikan kefahaman, karamah insaniah, kemanusiaan dan itu tanggungjawab sebagai muslim.

“Muslim juga perlu tunjukkan karakter yang bertoleransi, saling faham antara satu sama lain dan penyayang selain bersifat adil,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di Persidangan Pemimpin Agama Antarabangsa 2024 di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hadir ke hadir ke majlis pelancaran International Conference For Religious Leaders di Sunway Resort Hotel Petaling Jaya. Selangor. Foto AIZAT

Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa turutr hadir pada majlis yang sama.

Selain itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar juga turut hadir.

Keadilan, kata Anwar, bukan hanya perlu ditegakkan di dalam negara sahaja malah juga disebarkan ke negara lain.

Selain itu, para pemimpin agama seluruh negara digesa supaya berani memperjuangkan keadilan selain menyebarkan kefahaman dan perpaduan tidak kira di mana juga.

Perdana Menteri berkata, sebagai pemimpin agama – sama ada  muslim, Hindu, Budha atau Kristian – semua perlu konsisten menolak ketidakadilan terhadap sesiapa pun dalam dunia.

“Biarkan pemimpin agama mengambil peranan lebih berkesan berani suarakan pandangan anda. Anda mungkin pemimpin Budha, pemimpin Hindu, pemimpin Islam, pemimpin Kristian tapi keadilan tetap keadilan.

“Tidak ada mana-mana agama membiarkan dan benarkan ketidakadilan dan penindasan terhadap sesiapa pun,” katanya lagi.

Sementara itu, Anwar ketika menyampaikan ucapan beliau menyuarakan hasrat supaya  Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) akan dijadikan salah satu acara tahunan.

Kira-kira 2,000 tokoh agama serta intelektual dari 57 negara hadir pada ICRL 2024 hari ini.

Matlamat persidangan adalah menekankan kepentingan agama dalam menggalakkan keamanan dunia, mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan meneroka cara kolaborasi masa kini, di samping melancarkan inisiatif yang terhasil daripada Piagam Makkah serta menonjolkan nilai-nilai murni pelbagai agama.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

ICRL 2024 bukan bertujuan promosi pluralisme agama – Mohd Na’im