Perdana Menteri bergambar bersama delegasi Malaysia ketika lawatannya ke tiga negara Asia Tengah minggu lalu. Gambar: Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya lebih RM2.1 bilion potensi pelaburan dan perdagangan berjaya dijana menerusi kunjungan ke Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan minggu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bakal memanfaatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan hasil lawatan rasmi ini yang telah membuka lembaran baharu dalam hubungan antara Malaysia dengan negara-negara di benua Asia Tengah,” katanya menerusi kenyataan.

Perdana Menteri memulakan kunjungan Kyrgyzstan pada 14 Mei, diikuti Kazakhstan dan Uzbekistan.

Menurut Anwar, lawatan rasmi ke Uzbekistan berjaya mengangkat hubungan dua hala, pelaburan, perdagangan serta kerjasama ke tahap lebih tinggi dengan potensi eksport sekurang-kurangnya RM710 juta telah termeterai.

“Penghujung kunjungan di Uzbekistan juga menutup tirai lawatan rasmi saya ke tiga negara Asia Tengah, bermula di Kyrgyzstan pada Selasa lalu, disusuli Kazakhstan pada Khamis,” ujarnya.

Sebelum berangkat ke lapangan terbang, katanya, pimpinan Kerajaan Uzbekistan menghadiahkan sepersalinan pakaian tradisi rasmi khusus buat pemimpin tertinggi Bukhara dikenali sebagai ‘Chapan Bukhara’.

“Saya zahirkan ucapan penghargaan tertinggi atas layanan luar biasa sepanjang kami berada di Uzbekistan sejak Jumaat lalu. Berat hati untuk melangkah meninggalkan Uzbekistan selepas hubungan erat yang terjalin meskipun hanya dalam tempoh singkat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau juga amat menghargai hubungan persahabatan yang telah terjalin dengan Presiden Shavkat.

“Terima kasih atas keikhlasan yang dihulurkan sepanjang pertemuan dan perbincangan kami,” tambahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.