Dua buah lori yang digunakan bagi seleweng diesel ditinggalkan pemandu masing-masing sebaik KPDN Pulau Pinang meminta mereka mengemukakan permit penyimpanan diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Bukit Mertajam.

BUKIT MERTAJAM – Dua pemandu lori bertindak lari meninggalkan kenderaan di sebuah stesen minyak di sini, semalam sejurus anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang meminta mereka mengemukakan permit penyimpan diesel bersubsidi.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi itu terbongkar ketika pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak menerusi Ops Tiris 3.0.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dua buah lori yang dilengkapi 10 tangki khas di bahagian belakang bagi kegiatan menyeludup diesel.

“Semakan mendapati minyak diesel dari tangki asal dipindahkan ke dalam tangki khas menggunakan motor pam.

Terdapat 10 tangki khas bagi menyimpan diesel di bahagian belakang lori berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika anggota penguat kuasa meminta dua pemandu lori itu mengemukakan dokumen lesen atau permit bagi penyimpanan minyak diesel mereka bertindak melarikan diri.

“Secara keseluruhan rampasan berjumlah RM45,610 dan ia termasuk 1,400 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM3,010,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Jegan, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti, rantaian pengedaran minyak diesel termasuklah sumber minyak diesel diperolehi pihak tidak bertanggungjawab.

“KPDN Pulau Pinang giat melakukan pengawasan dan rondaan sekitar negeri ini bagi mengekang ketirisan aktivti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.

“Kita juga konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang dibawah KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi diesel yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga.

“Sehubungan itu, masyarakat diseru supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi,” katanya. – MalaysiaGazette