Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.

KUALA LUMPUR – Polis menerusi siasatan tiga insiden jenayah ke atas tiga pemain bola sepak mengenal pasti ada corak persamaan iaitu mangsa diserang selang dua hari dalam setiap kes.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan awal mendapati mangsa pertama pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid disamun dan dipukul pada 2 Mei lalu.

Selang dua hari, pemain kebangsaan, Muhammad Faisal Abdul Halim pula diserang dengan menggunakan cecair kimia pada 5 Mei lalu sebelum Safiq Rahim pula jadi mangsa ketiga apabila kenderaannya dirosakkan semalam.

“Selain itu kita juga berjaya mengenalpasti modus operandi penjenayah iaitu mereka bergerak secara berpasangan dengan mengekori rapat mangsa sebelum melancarkan serangan ke atas mangsa secara mengejut yang mana ia dilihat seperti dirancang awal.

“Bagaimanapun, kita masih tidak dapat mengenal pasti motif ketiga-tiga kejadian tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kata Mohd Shuhaily, masih terlalu awal untuk polis membuat sebarang kesimpulan ketiga-tiga kes terbabit saling berkait antara satu sama lain walaupun corak jenayah itu menunjukkan ada persamaan.

Bagaimanapun, beliau menambah, polis akan mengkaji dalam dimensi yang lebih luas mencakupi semua sudut dan aspek termasuk sama ada serangan ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebulan lepas juga mempunyai kaitan juga dalam konteks serangan terhadap pemain bola sepak yang berlaku.

“Ini termasuklah siasatan berkaitan laporan polis yang telah dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC. Terbaharu dua suspek lelaki berusia 20-an dan lewat 30-an ditahan di Pandan Indah, Ampang pada Ahad dan di Bandar Baru Bangi pada Isnin lalu.

“Namun suspek pertama telah dibebaskan manakala suspek kedua yang masih direman sehingga 11 Mei ini diuji positif dadah selain memiliki tujuh rekod jenayah lampau antaranya rompak berkumpulan, ugutan jenayah, pemerasan, sengaja menyebabkan kecederaan dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya lagi.

Ditanya kenapa ketiga-tiga kes jenayah ke atas pemain kebangsaan telah diambil alih siasatan oleh Bukit Aman, Mohd Shuhaily memaklumkan kes ketiga-tiga kes itu telah merentasi kontinjen negeri.

“Kita lihat dimensi serangan telah rentas kontinen dan untuk menyelaraskan siasatan, Bukit Aman membuat keputusan untuk menyiasat ketiga-tiga kes ini.

“Setakat ini polis berjaya merakam keterangan daripada seramai 15 orang individu untuk ketiga-tiga kes tersebut termasuk ahli keluarga dan saksi di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

“Saya juga menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan membuka ruang kepada pihak berkepentingan mengambil kesempatan.

“Lebih cenderung anda membuat spekulasi maka ia hanya akan menambah risikonya maka saya juga mengambil kesempatan ini menasihati para pemain liga dan kebangsaan sila ambil langkah berjaga-jaga sekiranya terserempak dengan situasi luar biasa di tempat umum atau sebaliknya.

“Pada masa yang sama, dari kes kedua (serangan asid) saya menunggu laporan siasatan bagaimana kecederaan tahap kedua boleh merebak ke tahap empat dan juga lihat kemungkinan ia disebabkan kandungan cecair kimia itu berdasarkan hasil perolehan barang kes,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette