Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan melakukan perbuatan khianat dengan membaling bom petrol ke arah sebuah pusat hiburan baru-baru ini.

Ketika pertuduhan dibacakan, kedua-dua lelaki itu mengangguk tanda faham sebelum memohon untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hamidah Mohamed Deril hari ini.

Tertuduh, Nor Rahman Sadik dan M Preemraj didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan kelab hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, pada 9 Mei lepas.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan memohon supaya kedua-dua tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 setiap seorang.

Selain itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi Mohamed Noh juga meminta syarat tambahan termasuk melaporkan diri setiap bulan di balai polis terdekat sehingga kes tersebut selesai.

Bagaimanapun, peguam mewakili kedua-dua tertuduh pula memohon ikat jamin ditetapkan lebih rendah kerana anak guamnya tidak mempunyai kemampuan membayar jaminan tinggi.

Kata MV Yoges, salah seorang tertuduh, Preemraj, pernah mengalami kemalangan serius sehingga menyebabkan tempurung lututnya retak dua tahun lepas.

Hakim kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 selain syarat tambahan.

“Sebutan kes pada 21 Jun depan,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersubahat bersama seorang lagi suspek yang masih bebas, melakukan khianat dengan api iaitu membaling empat botol dinyalakan dengan api ke arah pintu depan pusat hiburan terbabit.

Kerugian dianggarkan mencecah sehingga RM3,000.

Jika sabit salah mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 435 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.

Minggu lepas viral rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di luar pusat hiburan itu yang menunjukkan suspek menaiki motosikal di hadapan premis terbabit sebelum membaling objek dipercayai bom petrol sebelum melarikan diri menggunakan motorsikal. -MalaysiaGazette