Aliran trafik menghala ke Pantai Timur melalui Lebuhraya KL Karak sesak berikutan orang ramai mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman menyambut Hari Raya Aidiladha. Foto SADIQ SANI, 15 JUN 2024

GOMBAK – Aliran trafik di beberapa lebuhraya utama lancar menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha esok berikutan orang ramai sudah pulang ke kampung sejak kelmarin.

Tinjauan MalaysiaGazette sejak jam 12 tengah hari di Plaza Tol Gombak mendapati, aliran trafik dari ibu negara menuju ke tol terbabit lancar.

Namun lalu lintas selepas susur keluar Plaza Tol Gombak menuju ke Genting Sempah berlaku sedikit kesesakan berikutan pertambahan kenderaan.

Dalam pada itu, keadaan cuaca juga kelihatan mendung dan hujan renyai sepanjang sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).

Sementara itu, Anih Berhad dalam laman sosial X melaporkan aliran trafik perlahan sejauh lima kilometer dari KM20.8 hingga ke KM25.8 arah timur.

Bagaimanapun, keadaan lalu lintas dari Pantai Timur ke Kuala Lumpur pula berjalan lancar tanpa sebarang kesesakan.

Sementara itu, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) pula memaklumkan berlaku sedikit kesesakkan menuju ke arah selatan dan utara.

Bagi arah Selatan, trafik sesak di KM 259.9 dari Seremban ke Port Dickson berikutan lorong kanan terhalang namun keadaan kembali terkawal sekitar jam 1.40petang tadi.

Dalam pada itu, Plus Trafik melaporkan berlaku kemalangan di KM 446.3 dari Rawang ke Hospital Sungai Buloh, bagaimanapu aliran trafik masih terkawal.

Pihaknya juga telah mengaktifkan Smart Lane di beberapa kawasan iaitu di laluan Port Dickson ke Seremban dengan jarak 3.5km dan di laluan Ayer Keroh ke Jasin (jarak 11.1km).

Terdahulu, LLM menjangkakan jumlah kenderaan di Plus, KLK dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 serta LPT2 meningkat sehingga 2.52 juta sempena perayaan Hari Raya Aidiladha, esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast