Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar lebih tinggi sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini didorong oleh perbelanjaan swasta yang lebih kukuh dan pertumbuhan eksport yang positif.

Prestasi itu lebih baik berbanding pertumbuhan 2.9 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2023.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, perbelanjaan isi rumah lebih tinggi berikutan pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan.

Menurutnya, aktiviti pelaburan lebih giat disokong oleh perbelanjaan modal sektor swasta dan sektor awam yang lebih tinggi.

Tambah beliau lagi, eksport kembali pulih berikutan permintaan luaran yang lebih tinggi.

“Dari segi penawaran, kebanyakan sektor mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi. Sektor perkilangan telah meningkat disebabkan oleh pemulihan dalam industri elektrik dan eletronik (E&E) serta industri bukan E&E.

“Pertumbuhan yang lebih kukuh bagi sektor perkhidmatan didorong oleh aktiviti perdagangan runcit yang lebih tinggi dan sokongan yang berterusan daripada subsektor pengangkutan dan penyimpanan.

“Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 1.4 peratus,” katanya pada sidang media Perkembangan Ekonomi dan Kewangan Malaysia pada Suku Pertama Tahun 2024 di sini hari ini.

Abdul Rasheed menambah, perkembangan Inflasi keseluruhan kekal sederhana pada 1.7 peratus pada suku pertama tahun berbanding 1.6 peratus pada suku keempat 2023.

Kata beliau, peningkatan sederhana dalam inflasi keseluruhan ini mencerminkan pelarasan dasar tarif air pada Februari dan cukai perkhidmatan bagi penggunaan elektrik yang tinggi pada Mac.

Masing-masing meningkat sebanyak 20.8 peratus dan 0.7 peratus berbanding suku keempat 2023.

“Inflasi teras berkurang kepada 1.8 peratus, sebahagian besarnya didorong oleh inflasi segmen makanan dan minuman yang terus mereda.

“Rebakan inflasi meningkat sedikit, apabila bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan meningkat kepada 44.2 peratus pada suku tersebut.

“Walau bagaimanapun, bahagian ini kekal di bawah purata jangka panjang suku pertama iaitu sebanyak 52.2 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette