LIPIS – Hasrat seorang lelaki untuk menyambut Hari Raya Haji tidak kesampaian apabila menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori di kilometer (KM) 25, Jalan Lipis-Benta, di sini, hari ini.
Ketika kejadian kira-kira jam 5.30 pagi tadi, penunggang motosikal terbabit dalam perjalananan dari rumahnya di Kepong menuju kampung halamannya di Kampung Bertam, Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Ismail Man berkata, hasil siasatan awal mendapati, pemandu lori seorang lelaki warganegara tempatan berusia 29 tahun dari Klang, Selangor menuju ke Tanah Merah, Kelantan untuk menghantar muatan tilam.
“Apabila sampai di tempat kejadian di Bulatan Benta, lori telah mengelak sebuah kereta rosak di tengah-tengah bulatan akibat kemalangan sebelum ini.
“Pemandu lori itu kemudiannya terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan merempuh penunggang motosikal yang dipercayai sedang berehat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ismail berkata, akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal, Mohamad Suhamel Ismail, 24 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes masih dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut digesa tampil bagi membantu siasatan,” katanya.
Katanya lagi, polis menasihatkan agar semua pengguna jalan raya sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah.
“Pengguna jalan raya perlu memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik dan selamat.
“Seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis mengucapkan salam takziah buat keluarga mangsa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette