Jenazah anggota polis yang terkorban dalam kejadian serangan Balai Polis Ulu Tiram tiba di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil untuk solat jenazah sebelum dibawa pulang ke kampung masing-masing.

JOHOR BAHRU – Polis Johor telah memanggil seramai 46 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Jemaah Islamiah (JI) bagi membantu siasatan berkaitan serangan di Balai Polis Ulu Tiram dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan  awal mendapati suspek bertindak sendirian didorong motivasi kefahamannya malah dia dan keluarga juga tidak bercampur dengan masyarakat.

“Yang diserbu itu balai polis, yang dibunuh itu anggota polis dan dari situ kita panggil sejumlah individu untuk bantu. Bukan serbu dan bukan tangkap, saya tegaskan sekali lagi bahawa dia bergerak bersendirian bukan bergerak dalam skala besar.

“Saya bagi jaminan pasukan polis dengan pengalaman 217 tahun sebagai agensi terbesar database kita itu memadai mengatasi insiden begini walaupun kita ada individu yang mempunyai latar belakang yang pernah terlibat dengan aktiviti ini atau tahanan Sosma, pendekatan polis terus dekati mereka memastikan proses rehabilitasi kita mendekati mereka supaya tidak ada rasa ancaman kepada negara.

“Surau madrasah tiada kontroversi dan saya beri jaminan bahawa pasukan polis akan selesaikan isu ini.

“Jangan guna istilah tangkap kita panggil mereka untuk bantu kita ( polis),” katanya pada sidang media sebelum menghadiri Majlis Solat Jenazah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor pagi ini.

Semalam, media melaporkan berlaku serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis serta suspek penyerang dilakukan anggota kumpulan JI.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pula dilaporkan berkata, suspek yang berusia 21 tahun yang ditembak mati di tempat kejadian sememangnya telah merancang dan melakukan serangan untuk mendapatkan senjata api yang disimpan di balai polis berkenaan.

Susulan kejadian itu, polis telah menyerbu rumah suspek dan tangkapan dibuat terhadap lima ahli keluarganya yang berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun yang dipercayai ahli JI.

Bapa suspek juga adalah anggota JI di Ulu Tiram dan kediaman suspek juga mempunyai beberapa maklumat berkaitan kumpulan berkenaan.

“Ibu bapa, ibu dan adik beradik suspek semalam masih ditahan dan saya ingatkan sekali lagi sejumlah individu kita panggil adalah untuk membantu kita.

“Saya pohon masyarakat awam hentikan spekulasi beri ruang kepada polis kawal dan pihak polis akan melakukan sedaya mungkin untuk pastikan kententeranan terjamin,” kata Razarudin.

Pagi ini selepas menghadiri solat jenazah dua anggota polis yang terbunuh, Saifuddin dijangka akan ke Balai Polis Tiram untuk melihat sendiri lokasi kejadian selain ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk ziarah anggota yang cedera.- MalaysiaGazette