KUALA LUMPUR – Penyanyi Shiha Zikir mengakui berdepan banyak cabaran sepanjang lebih setahun bergelar tauke restoran nasi ayam antaranya ‘kedai seperti ditutup’ angkara sihir dan kerugian lebih RM100,000 selepas premis itu dipecah masuk.
Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd. Zikir berkata, dia menyedari restoran miliknya seperti disihir selepas beberapa orang kenalan menghubunginya dan memberitahu kedainya tutup.
“Ada kenalan dan pelanggan yang datang ke restoran bukan sekali tetapi, dua tiga kali tetapi lihat restoran tutup.
Pada masa sama, kata penyanyi lagu Kalam itu, restorannya yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur itu juga pernah dipecah masuk.
Bagaimanapun Shiha, 37, tetap berfikiran positif sambil menyifatkan dugaan yang dialaminya sebagai adat dalam dunia perniagaan.
“Apa yang boleh saya lakukan hanyalah berdoa agar Allah permudahkan segala urusan. Saya belum berjumpa ustaz lagi, cuma berhubung di telefon untuk meminta doa yang boleh saya amalkan,” kata Shiha.
Sebagai orang baharu dalam dunia perniagaan makanan, Shiha mengakui kecewa apabila restorannya diganggu secara mistik.
“Saya sedihlah apabila perkara ini berlaku sepatutnya bersainglah secara sihat,” luah Shiha sedih namun bersyukur membuka cawangan kedua Restoran Shiha Zikir Nasi Ayam di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. – MalaysiaGazette