Pengarah JPJ WPKL, Mohd Zaki Ismail bercakap pada sidang media berkenaan Operasi Bersepadu Bil. 2/2024 JPJ WPKL di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 MEI 2024

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) telah mengeluarkan 416 notis dalam Ops Bersepadu yang diadakan sekitar Jalan Duta malam tadi.

Operasi bersepadu antara pihak JPJ WPKL dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurut Pengarah JPJ WPKL, Mohd Zaki Ismail, pihaknya mengeluarkan sebanyak 416 notis kerana pelbagai kesalahan seperti ketiadaan lesen memandu, cermin terlalu gelap, cukai jalan, teknikal, nombor pendaftaran, insurans, lampu High Intensity Discharge (HID) dan ketiadaan lesen vokasional.

“Dalam operasi yang sama, 11 buah kenderaan yang terdiri daripada tiga buah motosikal dan lapan buah kereta turut disita.

“Selain itu, pihak AADK juga telah mencekup enam orang yang dikenal pasti positif dadah jenis meth dan empat orang positif ganja,” katanya dalam sidang media di lokasi malam tadi.

JIM dalam operasi itu turut menahan tujuh orang warga asing yang disyaki tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“JPJ tidak akan berkompromi dengan pemandu yang melanggar undang-undang yang ditetapkan. Tindakan tegas ini diambil untuk memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada pengguna,” tegasnya. – MalaysiaGazette