Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan ekstremis yang berlaku di negeri ini sehingga mengakibatkan kematian dua anggota polis dan seorang lagi cedera, Jumaat lepas.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi turut merakamkan rasa dukacita atas insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru itu dan meminta ahli Dewan supaya bertafakur selama seminit sebagai tanda penghormatan.

“Kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya akan sebarang bentuk keganasan ekstrem, apatah lagi apabila ia mengorbankan nyawa-nyawa yang tidak berdosa, lebih-lebih lagi wira-wira negara seperti anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita berdiri teguh bersama PDRM dalam usaha memerangi segala bentuk ekstrimisme dan akan bekerjasama dengan semua agensi keselamatan supaya perkara ini tidak berulang lagi di Johor,” katanya dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap turut menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga dua anggota polis yang maut dalam serangan itu.

“Semoga kedua-dua roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh. Kita doakan Koperal Mohd Hasif Roslan yang masih dirawat diberi kesembuhan dan pulih seperti biasa,” katanya.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi Jumaat itu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang oleh seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang manakala Mohd Hasif ditembak dan dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail di sini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam dilapor berkata suspek berusia 21 tahun yang terbunuh dalam serangan itu dipercayai bertindak sendirian dan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan. – BERNAMA