Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fayhsal menghalang penjualan saham Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) disifatkan sebagai hipokrit.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan berkata, ini kerana Wan Ahmad Fayhsal membisu ketika pemilik GIP, BlackRock Inc. mengendalikan dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dakwaannya bahawa Kerajaan MADANI menjual aset kepada BlackRock jelas menyeleweng dan berhasrat menghalang kemajuan Malaysia demi kepentingan politik murahan beliau.

“Hakikatnya beliau membisu seribu bahasa apabila kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin pada tahun 2021 telah memperuntukkan dana simpanan KWSP kepada BlackRock. Dana ini merupakan pelaburan ke dalam aset syariah yang secara langsung melibatkan simpanan ahli muslim KWSP.

“Mengapa beliau yang ketika itu memegang jawatan timbalan menteri tidak mengkritik Muhyiddin dan menghalang transaksi tersebut?” soalnya.

Pada 26 Februari 2021 KWSP melancarkan dana SMA pelaburan langsung dan pelaburan bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh Syariah yang pertama dan terbesar di dunia dengan peruntukan sebanyak AS$600 juta (RM2.4 bilion).

Menerusi peruntukan itu, KWSP telah menubuhkan tiga dana SMA bernilai AS$200 juta (RM810 juta) setiap satu yang akan dikendalikan oleh tiga Pengurus Dana Ekuiti Persendirian termasuk BlackRock.

Banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan antarabangsa The People’s Forum mendakwa BlackRock terlibat secara tidak langsung membantu Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Syarikat itu mempunyai pelaburan besar-besaran di Israel dan dalam syarikat termasuk Lockheed Martin, RTX, Northrop Grumman, Boeing dan General Dynamics yang menjadikan senjata yang digunakan Israel untuk membunuh rakyat Palestin.

Sementara itu Ammar berkata, cadangan pembangunan MAHB telah mengambil kira pelbagai merit untuk mengekalkan kesemua 39 aset lapangan terbang tempatan di tangan rakyat Malaysia.

Katanya, Kerajaan Malaysia akan memiliki golden share dalam konsortium berkenaan yang bermaksud semua keputusan termasuk penjualan aset boleh diveto atau dibatalkan pada bila-bila masa.

Tambahan, katanya, hanya rakyat Malaysia akan dilantik sebagai pengerusi dan ketua pegawai eksekutif konsortium MAHB.

“Wan Ahmad Fayhsal harus ingat bahawa BlackRock adalah pengurus aset terbesar dunia dan mempunyai pegangan ekuiti dalam pelbagai syarikat tersenarai di Malaysia untuk berdekad lamanya.

“Pegangannya dalam pasaran ekuti dan bon Malaysia juga adalah terlalu signifikan untuk kita menghalaunya keluar.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih arif dan tidak akan membenarkan mana-mana entiti asing mendominasi aset penting negara,” katanya,

Selaku pendokong terbesar agenda Palestin, Anwar menurut beliau, akan terus berusaha mencari penyelesaian bagi negara tersebut tanpa membahayakan ekonomi Malaysia dan masa depan rakyat kita. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Haaaa…kalai Muhyidin terjun masuk lubuk…ko pun terjun masuk lubuk kah?? Dah sah2 syarikat tu pembunuh rakyat Palestin…lagi ko nak pertahankan???

Comments are closed.