ayam dedak telur
Gambar hiasan

KUALA LUPUR – Kerajaan memutuskan harga runcit bagi telur gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji, selaras dengan usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat,

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kini harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing adalah 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji, berkuatkuasa hari ini.

“Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini melibatkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada tahun 2023 peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta.

“Manakala harga runcit bagi telur di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan juga akan diselaraskan mengikut Bahagian dan Zon yang diwartakan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perkembangan semasa menunjukkan berlaku penurunan kos input pengeluaran telur ayam khususnya bahan asas kepada makanan ayam.

Menurut Perdana Menteri, masalah atau isu terkait kos kehidupan rakyat akan terus ditangani Kerajaan secara lebih proaktif dan berkesan sambil berusaha sebaiknya dalam memampan dampak yang buruk ke atas kehidupan harian rakyat.

Sementara itu, Anwar memberitahu, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri telah menggerakkan Ops Tiris yang bertujuan bagi membanteras permasalahan penyelewengan minyak diesel bersubsidi .

Tambah beliau, sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 6,441,118 liter minyak diesel dianggarkan berjumlah RM14.208 juta telah dirampas.

Katanya, atas hasil dan perkembangan yang baik dari ops tersebut, Ops Tiris 3.0 dilaksanakan dengan skop yang diperluas mencakupi barang-barang kawalan lain iaitu gula putih bertapis (kasar dan halus), minyak masak bungkusan polibeg 1KG, petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).

Jelasnya, sehingga 14 Jun lalu, sejumlah RM12.956 juta nilai barang kawalan telah dirampas dengan diesel menjadi barangan kawalan yang tertinggi yang diseludup dan diseleweng.

“Kerajaan Madani akan kekal komited menangani penyeludupan diesel sambil berusaha mengimbanginya dengan perihal bekalan dan kos sara hidup rakyat.

“Subsidi tidak dihapuskan, tetapi apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan masih perlu menanggung kira-kira RM7 bilion untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan masih mengekalkan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) meski harga minyak sawit mentah (MSM) dunia meningkat melebihi harga ambang RM3,890 / metrik tan (mt).

Sebagai contoh, katanya, dengan harga MSM pada bulan Mac RM4,215/mt dan April RM4,256/mt, harga minyak masak sawit tulen 5kg boleh meningkat sehingga RM33 hingga RM35. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast