Rosminah Tahir

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga aktivis teater tanah air yang juga bekas Ketua Jabatan Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA) Dr Rosminah Mohd Tahir, yang meninggal petang semalam.

Fahmi dalam satu hantaran ringkas di laman X berkata Rosminah, merupakan antara sumber inspirasi beliau ketika bergiat dalam bidang teater tidak lama dahulu.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Takziah buat seluruh ahli keluarga,” katanya.

Terdahulu, berita pemergian Rosminah, 65, dikongsikan rakan penggiat seni, seniwati Fauziah Nawi dan pelakon veteran Zulkifli Ismail, masing-masing menerusi hantaran di Faceook, petang semalam.

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Keramat, di sini, petang tadi dan difahamkan jenazah akan dibawa pulang ke Muar, Johor untuk dikebumikan pagi ini.

Selain berkhidmat sebagai tenaga pengajar di ASWARA, Allahyarham juga pernah mengarah beberapa pementasan teater berskala mega, seperti Di Bawah Lindungan Kaabah; Muzikal Tun Mahathir; Muzikal Lantai T Pinkie; Muzikal Ibu Zain; Nyonya; Li Po; Mak Dara Nyonya dan Anugerah.

— BERNAMA

 

TAG: