Tangkap layar dari kes yang tular di media sosial

ALOR GAJAH – Padah terpedaya dijanjikan komisyen menang wang loteri kononnya berjumlah RM500,000, seorang suri rumah kerugian kira-kira RM20,000 apabila barang kemas miliknya dilarikan empat individu dipercayai warga Indonesia, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa berusia 58 tahun didatangi dua lelaki dan seorang wanita dipercayai warga Indonesia berusia sekitar 40-an hingga 50-an ketika sedang membeli barangan keperluan harian di sebuah pasar raya di Masjid Tanah.

Superintendan Ashari Abu Samah

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek kemudian menawarkan tiket loteri yang kononnya telah memenangi tempat pertama berjumlah RM500,000.

Menurutnya, suspek bagaimanapun menjelaskan mereka memerlukan pertolongan wanita itu kerana tidak mempunyai kad pengenalan untuk menebus wang kemenangan itu.

“Mangsa dijanjikan komisyen RM50,000 membuatkannya terpengaruh dengan janji manis suspek sebelum mengikut mereka masuk ke dalam sebuah kereta yang dipandu seorang lagi suspek lelaki.

“Semasa dalam perjalanan suspek telah meminta mangsa mencagarkan barang kemasnya berupa seutas rantai emas beserta loket dan gelang tangan dianggarkan bernilai RM20,000 kepada mereka.

“Ia kononnya sebagai jaminan mangsa tidak melarikan diri selepas menuntut wang kemenangan RM500,000 itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, apabila sampai di kedai loteri berkenan, suspek menurunkan mangsa yang berjalan kaki menuju ke kaunter untuk membuat tuntutan wang kemenangan.

“Bagaimanapun semasa memasuki premis, mangsa terkejut apabila mendapati suspek telah melarikan diri membuatkannya berasa diperdaya dan membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Sungai Baru pada pukul 2 petang.

“Setakat ini tiada kertas siasatan dibuka memandangkan mangsa tidak dapat mengecam suspek selain tiada petunjuk positif untuk mengesan suspek namun polis sedang mendapatkan maklumat menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkaitan,” katanya.

Ashari berkata, siasatan akan diteruskan jika terdapat petunjuk positif mengenai keempat-empat suspek.

“Tiada isu pukau dalam kes sebegini yang banyak sudah berlaku menggunakan modus operandi sama sebaliknya kebanyakan mangsa mudah termakan pujuk rayu penjenayah.

“Golongan wanita yang bergerak seorang diri dinasihatkan tidak memakai barang kemas yang keterlaluan bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran jenayah sebegini,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial meminta orang ramai berhati-hati dengan kejadian tiga individu telah memukau seorang wanita ketika sedang membeli belah di sebuah pasar raya di Masjid Tanah menyebabkannya kerugian wang tunai dan barang kemas. – MalaysiaGazette