Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim.

KUALA LUMPUR – Semua tahap keselamatan di premis awam termasuk sekolah di dalam negara mempunyai keluk risiko yang berbeza, kata penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim.

Menurutnya, ada kes jenayah yang membabitkan pedofilia, ada juga melibatkan kumpulan militan selain ancaman orang perseorangan yang menghadapai masalah mental.

Justeru, langkah pihak berkuasa yang mahu memperketatkan lagi kawalan di tempat awam termasuk di beberapa lokasi sensitif dan premis kerajaan pada tahap tertinggi adalah penting bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan.

“Jadi, saya kira yang dimaksudkan polis itu adalah kehadiran polis sama ada daripada segi kehadiran fizikal mahu pun lawatan berkala akan dipertingkatkan.

“Ini adalah respon bagi meyakinkan rakyat bahawa faktor keselamatan terhadap tiap-tiap rakyat Malaysia termasuk pelancong telah diambilkira.

“Ia bukan satu perkembangan tapi satu pergerakan biasa bergantung kepada tahap ancaman…ia kena konsisten dengan ancaman,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Azmi Abu Kassim yang memaklumkan pihak berkuasa memandang serius isu serangan dan ancaman yang berlaku di tempat awam termasuk di beberapa lokasi sensitif dan premis kerajaan baru-baru ini.

Insiden yang berlaku di beberapa lokasi di seluruh negara menimbulkan kegusaran kepada masyarakat umum mengenai tahap keselamatan dan ketenteraman negara.

Sebagai usaha berterusan memastikan keselamatan awam tepelihara, pihak berkuasa sentiasa bersiap siaga dan memperketatkan kawalan keselamatan dan kententeraman negara pada tahap tertinggi.

Katanya, PDRM mengambil langkah memperketatkan kawalan di bangunan kerajaan, tempat tumpuan awam dan fasaliti berkepentingan.

Malah Ketua Polis Negara sudah mengarahkan semua peringkat kepemimpinan PDRM serta petugas di lapangan mengambil langkah-langkah komprehensif semasa menjalankan tugas dengan mematuhi pekeliling, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh PDRM.

Mengulas lanjut, Kamal Affandi mahu had umur sukarelawan polis dilanjutkan daripada 45 kepada 50 tahun bagi menambah bilangan sukarelawan membantu pihak berkuasa.

Katanya, kajian semula wajar dilakukan dengan mempertimbangkan servis yang diperlukan daripada sukarelawan tersebut dalam membantu pihak berkuasa menjalankan tugas hakiki.

“Kita minta sukarelawan ini diletakkan ke satu usia yang munasabah di mana mereka boleh membantu pihak berkuasa dalam membanteras jenayah,” ujarnya. – MalaysiaGazette