Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Abu Samah. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Wilayah Persekutan (MBWP) sudah pun melaksanakan had umur 30 tahun bagi ahli-ahlinya lebih awal peringkat nasional yang mahu berbuat demikian berkuatkuasa 1 Januari 2026.

Presiden baharunya, Khairul Rizam Abu Samah berkata, sebagai permulaan, MBWP telah melantik ahli jawatankuasa badan itu dalam kalangan pelajar yang berusia 15 tahun bermula di peringkat sekolah di seluruh negara.

“Kami di MBWP menyambut baik kemasukan ahli di bawah 30 tahun. Semua badan gabungan MBWP sudah bermula untuk realisasikan pelantikan pemimpin mereka di 30 tahun dan ke bawah untuk bersama-sama dengan kita.

“Ahli-ahli majlis peringkat sekolah sebenarnya kita telah dilantik anak muda di bawah 16 tahun untuk menjadi ahli jawatankuasa MBWP di seluruh Malaysia.

“Ini menunjukkan bahawa kita sudah bersedia untuk bergerak ke arah had umur dari 40 tahun ketika ini kepada 30 tahun,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan had umur 30 tahun bagi belia di Malaysia akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 berbanding 40 tahun ketika ini.

Menurut Hannah, perkara itu dilakukan selaras dengan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] pada 1 Januari 2026.

Pindaan itu antara lain membabitkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun sahaja.

Sambutan Hari Belia Wilayah Persekutuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa di Kompleks Belia dan Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebagai presiden MBWP baharu bagi sesi 2024-2026, Khairul Rizam berkata, pihaknya akan melakukan jelajah ke seluruh 13 Parlimen di Wilayah Persekutuan untuk menyantuni belia untuk dilibatkan dalam sumbang saran idea.

“Kita akan turun ke seluruh Wilayah Persekutuan menerusi program Road Tour to 13th Parliament di mana kita akan turun ke akar umbi.

“Kita mahu mendengar pandangan serta cadangan daripada belia untuk diangkat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

“Sebenarnya ramai lagi belia dalam komuniti di setiap Parlimen boleh disantuni agar mudah kita memajukan belia di kawasan bandar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette