Adam Syed di hadapan ibu pejabat Tesla Inc di Texas, AS ketika bekerja di syarikat gergasi itu. Foto - koleksi peribadi Adam.

KUALA LUMPUR – Siapa yang pernah menduga, anak muda yang usianya baharu sahaja menginjak 25 tahun sudah menempa nama besar dalam dunia perkomputeran di Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa tahun ini.

Malah lebih membanggakan apabila Adam Syed Emir Putra sudah memiliki pengalaman bekerja dengan nama besar seperti Facebook kini Meta, Tesla Inc dan platform penstriman langsung dikenali sebagai Twitch.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Adam berkata, walaupun bakat di miliki olehnya itu tidak disedari ramai di negara ini namun beliau tidak pernah kecewa.

Adam juga sempat berbicara dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau berkunjung ke AS tahun ini malah Perdana Menteri begitu teruja menemuinya.

Adam juga pernah bekerja dengan syarikat di asaskan oleh Mark Zuckerberg.

“Saya telah dididik untuk sentiasa mencintai tanah air sendiri, pada saya sehingga ke akhir hayat saya akan terus mengharumkan nama Malaysia walau di mana saya berada. Saya telah memulakan perjalanan ke AS bagi menyambung pengajian di University of California San Diego (UCSD) pada 2018 hingga 2022.

“Sejurus tamat pengajian, saya sudah ditawarkan peluang pekerjaan. Di Tesla, tugas saya sebagai pereka produk memerlukan saya mereka proses tempahan Tesla secara online termasuk warna kenderaan yang diingini.

“Walaupun kini saya sudah tidak bersama Tesla lagi, syarikat gergasi ini telah beri pengalaman cukup berharga buat kerana dapat tonjolkan diri selain kemahiran yang ada pada diri saya,” katanya.

Sambung Adam, di Tesla semuanya bergerak pantas, andai lambat maka seseorang itu akan jauh tertinggal.

“Itulah budaya di Tesla. Semuanya bergerak dengan pantas, cepat bersama-sama teknologi terkini serta canggih. Anda perlu pantas bertindak, pantas membuat keputusan, pantas menampilkan idea baharu kerana perlu bersaing dengan banyak gergasi konglomerat, pengamalan inilah mendewasakan saya,” ujarnya.

Untuk maklumat, Adam juga pernah berkhidmat dengan Facebook atau terkini dikenali sebagai Meta malah telah diberi tugasan kreatif berkaitan media sosial oleh pasukan Mark Zuckerberg.

Adam mendedahkan dirinya perlu sentiasa tampil dengan idea segar agar platform itu sentiasa relevan dalam kalangan pengguna.

Selain berbakat besar dalam dunia perkomputeran sehingga dirinya menjadi pilihan syarikat gergasi dunia, Adam juga pernah mengharumkan nama negara kerana berkecimpung sebagai atlet lawan pedang negara.

Anak muda itu mencatatkan pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa termasuk Sukan Asia dan Sukan SEA.

Jelas Adam, ketika itu dirinya terpaksa membuat keputusan penting kerana mendapat tawaran kerja dengan Tesla dan juga tawaran menyertai Sukan Olimpik.

“Sejujurnya saya berada di persimpangan dilema ketika itu, namun Covid-19 membawa hikmah tersendiri kerana ia menyebabkan semua acara dan temasya sukan antarabangsa digantung sementara.

“Pada masa itu, saya buat pilihan sertai Tesla dan melepaskan tawaran ke Sukan Olimpik. Tetapi passion saya tetap ada, saya masih aktif dengan aktiviti ini dan akan pulang andai dipanggil sertai skuad negara pada bila-bila masa,” ujarnya. 

Adam menyampaikan ceramah kepada penuntut universiti di AS dari masa ke semasa.

Dalam pada itu, Adam juga akan dipanggil oleh universiti-universiti terkenal AS bagi berbicara dalam forum dari masa ke semasa.- MalaysiaGazette