KUALA LUMPUR – Golongan usahawan dialu-alukan menghantar pencalonan bagi penganjuran The Knights Award 2024 musim ketiga yang bakal berlangsung pada 14 Oktober ini.
Presiden The Knights Award, Dr. Zyro Wong berkata, The Knights Award merupakan acara penghargaan yang dianjurkan untuk mengiktiraf kejayaan tokoh-tokoh serta para usahawan dari sekitar Asia.
Katanya, acara gilang gemilang itu kembali lagi tahun ini untuk musim ketiganya yang akan diadakan di Dewan Filharmonik Petronas, Menara Berkembar Petronas, KLCC.
“Untuk tahun ini, jawatankuasa penganjur berhasrat untuk meningkatkan lagi Anugerah The Knights Award ke tahap yang lebih tinggi.
“Misi The Knights Award adalah untuk mewujudkan perhubungan elit antara pemimpin untuk memacu kejayaan komuniti perniagaan dan pertumbuhan ekonomi.
“Misi keduanya pula adalah untuk memperkasa perniagaan dan individu dengan kecemerlangan jenama dan kepimpinan pasaran,” katanya dalam satu majlis yang diadakan di ibu negara, Khamis lalu.
Sementara itu penganjur bersama, Mee Hiris China Muslim pada majlis berkenan menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MOU) sempena penganjurannya buat kali ketiga.
Mee Hiris China Muslim berhasrat untuk menyediakan masakan Cina Muslim halal terbaik di negara ini, menerusi inisiatif sebagai penganjur bersama The Knights Award.
Dalam pada itu Zyro berkata, selain peluang menjalinkan hubungan baharu dengan pemilik perniagaan lain, majlis yang diadakan nanti bakal menjadi platform untuk berinteraksi dalam kalangan pemilik perniagaan dan juga membuka peluang sesi perkongsian serta peluang berkolaborasi dengan perniagaan lain.
Katanya, musim ini juga, beliau menjangkakan penyertaan daripada sekurang-kurangnya 30 buah negara.
“Menerusi setiap perkongsian baharu yang dijalin, kami membuka jalan kepada pemenang kami untuk mencapai sinergi yang lebih cemerlang.
“Musim ini merupakan musim yang dipenuhi dengan inovasi, kerjasama dan peluang yang tanpa sempadan,” katanya.
Sebanyak tiga kategori pengiktirafan akan diberikan kepada pemenang iaitu The Duke, The Earl dan The Baron.
Kategori The Duke termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik, manakala The Earl merangkumi produk terkenal, ikon paling menonjol dan tempat kerja terbaik. – MalaysiaGazette