Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi Huzz di Hospital Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada wartawan hiburan terkenal, Huzz atau nama sebenar Kamal Huzaini yang kini terlantar di Hospital Kuala Lumpur akibat menderita kanser usus tahap empat.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi Huzz semalam.

“Hari ini Setiausaha Politik saya, Ahmad Farhan Fauzi telah menziarahi wartawan hiburan, saudara Huzz yang popular ketika era 80an-90an dahulu menerusi penulisan berkaitan dunia artis tanah air.

“Namun empunya badan atau nama sebenarnya, Kamal Huzaini kini terlantar di Hospital Kuala Lumpur akibat menderita kanser usus tahap empat.

“Selain bertanyakan khabar, Farhan turut memberikan sedikit bantuan daripada pihak saya bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Saya amat berharap pemberian ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada saudara Huzz, Insya-Allah,” katanya.

Dalam hantaran sama, Anwar turut berkongsi gambar keadaan terkini Huzz.

Terdahulu, Huzz, 58, yang pernah mencipta nama di Majalah Mangga, URTV, Hai, Media Hiburan dan Akhbar Utusan Malaysia itu telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 17 Mac lalu apabila mengalami  cirit birit yang berpanjangan sebelum disahkan doktor kanser usus yang dihidapinya. – MalaysiaGazette