KUALA LUMPUR – Ops Samba 2.0 yang berakhir 25 Mac lalu berjaya mengesan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Operasi di bawah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah berjaya menahan 34 anggota dan pegawai dari gred 19 hingga 44 bersama 27 individu dan pemilik syarikat.

“Hasil siasatan mendapati mereka bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup.

“Berikutan penahanan individu terbabit, Bahagian AML, SPRM telah merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit bagi membantu siasatan,” kata SPRM dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, SPRM telah membekukan sebanyak 231 akaun bank milik individu, syarikat dan ‘akaun keldai’ berjumlah kira-kira RM18 juta yang terbabit dengan kegiatan sindiket penyeludupan berkenaan.

Dalam pada itu, SPRM berkata, setakat ini dua pegawai kastam telah dituduh dan seramai 23 anggota dan pegawai kastam akan didakwa di enam Mahkamah Sesyen yang berasingan di seluruh negara sehingga 6 Jun 2024.

“Kesemua mereka akan didakwa di bawah kesalahan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan,” kata SPRM lagi.

Ops Samba 2.0 yang bermula 11 Mac lalu menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang bertugas di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – MalaysiaGazette