Sesi lawatan bersama Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR, Manivanan Gowin dan Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, Veerapan Supermaniam ke SJKT Ladang Bahau baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Berita gembira buat masyarakat India sekitar Ladang Bahau, Negeri Sembilan apabila pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bahau yang tertunda hampir lima tahun kini ada jalan penyelesaiannya.

Dalam satu kenyataan bersama, Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR, Manivanan Gowin dan Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, Negeri Sembilan, Veerapan Supermaniam, mereka telah membuat lawatan bagi mendapat maklumat terperinci berhubung sekolah itu.

“Hasil daripada lawatan tersebut, kami memahami beberapa isu teknikal perlu diselaraskan dengan sempurna sebelum pembinaan SJKT Ladang Bahau dapat dimulakan.

“Saya akan membawa perkara ini untuk berbincang dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya mendapat perhatian dan panduan segera untuk menyelesaikan masalah teknikal yang berbangkit.

“Selain itu, kami akan bertemu dengan semua pemegang taruh yang telah berjuang dan mempunyai niat bersama untuk pembinaan sekolah ini akan dijemput untuk satu sesi perbincangan dalam masa terdekat,” kata Manivanan dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan dan Kementerian Pendidikan  sentiasa memberi komitmen agar anak-anak diberi pendidikan berkualiti di samping suasana pembelajaran yang selesa dan kondusif tanpa mengira batasan kaum, agama atau politik. – MalaysiaGazette