Sebahagian kenderaan mewah yang disita.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan menyita 34 kenderaan pelbagai jenama dengan nilai rampasan lebih kurang RM3 juta kerana tidak kembali ke pulau bebas cukai (PBC) selepas tamat tempoh 90 hari.

Pengarahnya Aspalila AG Tuah berkata, sitaan dibuat menerusi menerusi beberapa siri serbuan Ops Radu 2024.

“Kenderaan yang disita itu membabitkan pemilik kenderaan yang melanggar syarat Butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017,” katanya.

Menurut beliau, modus operandi yang digunakan adalah membawa kenderaan masuk ke kawasan utama Kastam (KUK) menggunakan kemudahan di bawah butiran 14, bagaimanapun kenderaan itu tidak kembali ke PBC selepas tamat tempoh.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Berdasarkan butiran 14, kenderaan yang dibeli di PBC Langkawi dan Labuan dibenarkan masuk ke KUK tidak lebih 90 hari dalam setahun.

Ops Radu diadakan untuk memburu pemilik kenderaan yang melanggar syarat di bawah butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.- MalaysiaGazette