Orang ramai cemas melihat seorang wanita duduk di tepi struktur jalan di Jalan Pahang, petang semalam.

KUALA LUMPUR – Wanita yang duduk di tepi struktur jalan berhadapan Shell, dekat Jalan Pahang semalam menghidapi masalah mental.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, ACP Mohamad Lazim Ismail, wanita tersebut telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Namun katanya, pihak polis tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian viral yang berlaku lebih kurang 3.15 petang.

Video viral berdurasi 1.14 saat  memaparkan seorang wanita duduk di bahagian atas jalan yang kelihatan seperti flyover.

Kelihatan seorang individu cuba mendekati wanita itu namun dia bertindak meronta-ronta.

Dalam keadaan itu, tiba-tiba seorang lagi individu melompat ke arah wanita itu dan berjaya menahan badannya sambil dibantu oleh dua individu lain.

Pada masa sama, sebuah jentera bomba sudah berada dalam siap siaga di atas jalan raya berkenaan.

Tindakan berani tiga individu berkenaan mendapat tepukan daripada orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut. – MalaysiaGazette