Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Gara-gara masalah rumah tangga sejak berkahwin, nyawa seorang wanita melayang selepas dikatakan mati dibunuh suaminya di Klang pada 7 Jun lalu.

Mangsa mati akibat dikelar lehernya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pada lebih kurang pukul 7.58 pagi Jumaat lalu, pihaknya menerima panggilan ddaripada pengadu seorang lelaki warga tempatan mengenai kejadian itu.

Katanya, pengadu memaklumkan abang kandungnya telah membunuh isterinya sendiri di rumah mereka di Pangsapuri Palma Bandar Botanik Klang.

“Pemeriksaan lanjut pasukan mendapati mangsa merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 28 tahun telah ditemui mati dalam keadaan terbaring di atas katil dalam bilik tidur dengan kesan kelar di bahagian leher dan tangan sebelah kanan.

“Siasatan lanjut polis juga mendedahkan suspek dan mangsa yang merupakan operator kilang mempunyai masalah rumah tangga sejak selepas perkahwinan mereka dua tahun lalu dan memiliki seorang anak perempuan berusia enam bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hoong Fong lagi, mayat telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan hasil bedah siasat terhadap mangsa didapati telah menemui 12 luka hiris dan luka kelar di bahagian telinga kiri, pipi kiri, dagu kiri, leher, bahu kanan, lengan bawah kanan, jari manis, jari kelingking kiri dan kepala sebelah kiri.

“Punca kematian adalah disebabkan oleh luka kelar di bahagian leher yang memotong kulit, lapisan bawah kulit, otot leher sebelah kiri, saluran pernafasan dan tulang leher.

“Bertindak atas maklumat, pada hari sama selepas kejadian itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPD Klang Selatan telah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan yang disyaki melakukan jenayah tersebut.

“Suspek dikenal pasti bekerja sebagai pemandu lori berusia 31 tahun dan merupakan suami kepada mangsa itu telah direman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 Jun ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Polis telah membuka kertas siasatan di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun atau tidak lebih daripada 40 tahun serta 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Dalam perkembangan kes berkenaan, Hoong Fong turut menjelaskan siasatan masih dijalankan dan beberapa saksi akan dipanggil untuk dirakam percakapan termasuk ahli keluarga terdekat.

“Kertas siasatan apabila disiapkan nanti akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh masa terdekat,” ujarnya.- MalaysiaGazette