Amah Indonesia yang diselamatkan oleh polis di sebuah unit kondominium di Mutiara Damansara.

KUALA LUMPUR – Sudahlah tidak dibayar gaji, seorang pembantu rumah Indonesia dikurung di balkoni seperti binatang selepas setiap kali selesai mengemas rumah.

Itu detik hitam yang dilalui setiap hari oleh wanita malang ini yang menjadi mangsa penderaan kejam majikannya sejak seminggu lalu.

Namun, penderitaan mangsa berusia 21 tahun itu berakhir apabila berjaya diselamatkan polis dalam serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kira-kira jam 5 petang Ahad lalu.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi berkata, mangsa wanita itu dipercayai baru bekerja seminggu bekerja di kondominium  majikannya dekat Mutiara Damansara.

“Mangsa bertugas mencuci tandas sahaja dan selepas selesai melakukan tugasan, mangsa akan dikurung semula di balkoni rumah dan dibiarkan disitu.

“Lebih mengejutkan, mangsa diletakkan di balkoni rumah sebagai tempat tinggalnya bersama tilam dan bantal dan kawasan akan basah jika  hujan menyebabkan dia tidak boleh tidur,

“Mangsa turut mendakwa dia tidak dibenarkan menyentuh apa-apa barangan dalam rumah milik majikan sebaliknya hanya dibenarkan kemas bilik antara jam 5.11 pagi dan kembali dikunci di balkoni,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Akibat didera begitu, mangsa kerap menulis kertas dan mencampakkan di luar rumah dari balkoni tempat tinggalnya untuk mendapatkan bantuan.

Mangsa mahu menjerit tapi takut akan dimarahi oleh majikan kerana pergerakannya sentiasa dikawal.

Tambah beliau, mangsa turut tidak menerima gaji sehingga kini dan tidak tahu berapa bayaran yang dipersetujui untuk pekerjaannya.

“Mangsa tidak menerima gaji sejak bekerja seminggu lalu, dan tidak tahu berapa nilai gajinya.

“Selain itu, mangsa juga mendakwa dia diberikan makan dan minum sebanyak tiga kali sehari selain sentiasa dimarahi oleh majikannya itu,” katanya.

Soffian berkata, dalam serbuan sama polis berjaya menahan seorang wanita warga emas tempatan berumur 69 tahun yang dipercayai majikan mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63,”katanya. – MalaysiaGazette