Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Jun di Dewan De'Seri Endon, Puspanita, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 10 JUN 2024

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu pendekatan baharu akan dilaksanakan kepada ketua-ketua jabatan dan unit yang didapati gagal melaporkan aktiviti rasuah di jabatan masing-masing.

Anwar memberitahu, beliau akan mengesyorkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali sekiranya perkara tersebut berlaku, maka ketua-ketua jabatan dan unit itu akan disekat kenaikan pangkat mereka.

“Kalau nampak terang salah laku, kenapa ketua jabatan tidak lapor, kenapa ketua unit tidak tahu, saya kadang-kadang terfikir kerana amalan ini sudah berlaku bertahun-tahun, mustahil tidak ketahui.

“Maka saya akan syorkan kepada KSN dalam mesyuarat terdekat ini, dalam keputusan kita mengenai penyelarasan gaji, kita tetapkan seorang ketua jabatan, atau ketua unit tidak akan diberikan kenaikan pangkat, sekiranya diketahui di bawahnya itu dan tidak dilaporkan, tidak diizinkan untuk naik pangkat,” katanya dalam ucapan sempena perhimpunan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De’ Seri Endon, Puspanita, hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Jelas Anwar, mustahil untuk setiap ketua jabatan dan unit tidak mendapat maklumat mengenai segala aktiviti terutamanya aktiviti rasuah dalam jabatan masing-masing.

Justeru itu, beliau turut berkata arahan tersebut berkuatkuasa mulai minggu hadapan dan mengarahkan semua ketua-ketua jabatan da unit untuk berbuat demikian.

“Saya mahu satu keputusan tetap, maknanya dalam minggu depan saya nak ada ketetapan, ketua jabatan mesti lapor.

“(Kita) mesti selamatkan (negara), bukan soal selamat imej dan integirti penjawat awam, selamatkan negara in.

“Kita terpaksa ambil beberapa tindakan tidak popular tapi untuk selamatkan negara, jadi sekarang ini tanggungjawab itu bukan kepada SPRM sahaja, malah kepada ketua jabatan atau ketua unit juga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette