Calon pusat latihan memandu mendengar perangan dari pelatih semasa membuat latihan memandu berikutan sektor ini dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu bermula hari ini dengan memastikan semua pekerja, tenaga pengajar dan calon yang lengkap menerima vaksinasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Institut Manducekap Hi-Tec Sdn Bhd, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Individu yang berhasrat menjadi tenaga pengajar di institut memandu tetapi tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), boleh memohon mendapatkan Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) bermula 1 Julai ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengecualian syarat sementara itu sudah diberikan kelulusan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tempoh selama enam bulan sehingga 31 Disember ini.

Menurut beliau, inisiatif itu antara usaha bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar di institut memandu.

“Ramai pengusaha institut memandu memberi maklum balas bahawa terdapat ramai pemandu berpengalaman dan berhemah yang berpotensi menjadi pelatih yang baik tetapi tidak dapat peluang kerana kekurangan kelayakan SPM.

“Jadi, selepas penelitian terperinci, sukacita saya umumkan bahawa suatu program khas akan diadakan untuk memberi pengecualian kepada pemohon yang tidak memiliki SPM untuk mengikuti kursus SPIM dan menjadi pengajar bertauliah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia Ke-4, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, buat masa ini, inisiatif tersebut hanya dilaksanakan untuk tempoh enam bulan dan pihaknya sedia mempertimbang untuk melanjutkannya jika ada keperluan.

“Sebelum ini, sesiapa sahaja yang mahu menjadi pengajar di institut memandu, perlu memiliki SPM dan itu adalah syarat wajib.

“Jadi, ini yang ramai tak dapat penuhi dan banyak institut memandu beri maklum balas kepada kita.

“Maka kita beri tempoh pengecualian selama enam bulan. Jadi, mana-mana yang tak ada SPM, boleh daftar SPIM dan individu itu perlu mengikuti kursus selama dua minggu untuk mendapatkan sijil pengajar itu,” ujarnya.

Sehubungan itu Loke berharap inisiatif berkenaan akan dapat membantu lebih ramai yang tidak memiliki SPM, mengambil peluang mengikuti kursus SPIM dan seterusnya menjadi tenaga pengajar yang sah.

“Saya difahamkan setiap tahun kira-kira 700,000 bakal pemandu mendaftarkan diri di satu daripada 255 institut memandu di Malaysia manakala institut memandu adalah majikan kepada lebih 15,000 tenaga pengajar dan pekerja.

“Berdasarkan pertumbuhan ekonomi negara yang positif dan industri institut memandu yang masih mengembang, sudah tentu tenaga pengajar ini perlu ditambah,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast