Polis mengawal ketat laluan masuk ke kediaman kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mateen di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 10 JUN 2024

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan siasatan di lokasi kejadian pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Mateen, 6, di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini hari ini mengawal ketat kawasan perumahan tersebut.

Seawal jam 10 pagi lagi, sepasukan polis berpakaian seragam membuat sekatan di dua laluan menuju ke Blok R yang mana terletak kediaman ibu bapa Zayn.

Pemantauan MalaysiaGazette juga mendapati, lebih 20 pengamal media yang berkampung di lokasi sejurus menerima berita kehadiran polis bersama ibu Zayn dikawal ketat dan diarahkan untuk duduk di sebuah pondok wakaf.

Pergerakan setiap penduduk di sini diiringi oleh pihak polis termasuk kelihatan anggota mengiringi anak-anak sekolah rendah.

Van yang dipercayai membawa ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Mateen meninggalkan perkarangan Apartment Idaman pada pukul 1220 tengahari tadi. Foto SADIQ SANI, 10 JUN 2024

Pada masa sama pasukan siasatan terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, dilihat menjalankan proses lakonan semula insiden kehilangan dan penemuan mayat Allahyarham Zayn Rayyan.

Setakat jam 11 pagi tadi, hanya kelibat ibu Zayn berpakaian lokap ungu dibawa anggota ke lokasi manakala kehadiran bapanya ke lokasi belum dapat dipastikan.

Jumaat lalu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan polis melanjutkan semula tempoh reman selama enam hari sehingga 13 Jun ini ke atas pasangan suami isteri itu bagi membantu polis melengkapkan kertas siasatan.

Pasangan itu dibenarkan untuk sambung reman oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada pagi Jumaat lalu.

Polis mengawal ketat laluan masuk ke kediaman kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mateen di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 10 JUN 2024

Suami isteri yang masing-masing berusia 28 tahun itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pasangan itu ditahan polis jam 11 pagi di rumah keluarga mereka di Puncak Alam, 31 Mei lalu.

Dalam kejadian pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai, kira-kira 10 malam.

Laporan bedah siasat mengesahkan terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa sebelum kertas siasatan dibuka dan diklasifikasi sebagai bunuh di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette