PELABUHAN KLANG – Seorang lagi mangsa yang hilang dalam insiden bot terbalik di kedudukan 1.8 batu nautika barat Pantai Acheh Pulau Indah telah ditemukan hari ini – hari ketiga Operasi Mencari dan Menyelamat yang dilaksanakan secara bersepadu semalam.
Mayat mangsa ditemukan di kedudukan 2.4 batu nautika dari lokasi bot yang dilaporkan karam di perairan Pantai Acheh, Pulau Indah Klang.
Pengarah Maritm Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, mayat mangsa, Fazil Paijan, 36, memakai seluar panjang biru, baju hitam ditemui dengan bantuan daripada bot nelayan tempatan (BNT) Persatuan Nelayan Teluk Nipah.
Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di Jeti Marina Pulau Indah telah menerima panggilan lebih kurang pada 12.14 tengah hari daripada BNT Persatuan Nelayan Teluk Nipah atas penemuan mayat mangsa tersebut.
Difahamkan, ahli persatuan nelayan itu ialah salah seorang anggota Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSMM).
Mayat dibawa ke Jeti Marina Pulau Indah sebelum diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.
OP CARILAMAT sepanjang tiga hari ini yang diaktifkan itu melibatkan aset Maritim Malaysia KM DANGA dan BOT PERKASA 36 serta dibantu Bot SPEAR 01 daripada Pasukan Polis Marin (PPM), Bot KAVLAR, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
(JBPM) dan Bot Aluminium dari Angkatan Pertahanan Awam (APM).
OP CARILAMAT ditamatkan dan Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di Jeti Marina Pulau Indah ditutup. – MalaysiaGazette