Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menjangkakan kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi bagi petrol, September ini.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, ia berdasarkan kepada pengumuman kenaikan harga diesel dibuat Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kira-kira sebulan selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

“Besar kemungkinan, kenaikan harga petrol Semenanjung akan menyusul pada September 2024, selepas PRK Sungai Bakap diadakan pada Julai 2024; sebaiknya diumumkan oleh Menteri Ekonomi yang budiman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Syahir berkat, kenaikan harga diesel adalah pencetus gelombang baharu penularan ‘wabak’ inflasi di era Ekonomi Madani.

Rakyat katanya akan terus terbeban dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi, walaupun dilengkapi pengkalan data PADU dan BUDI.

“Inflasi ‘tolakan-kos’, impak kenaikan diesel bukan kepada pemiliknya sahaja, tetapi kepada setiap barangan dan perkhidmatan yang dibawanya. Walaupun sektor pertanian dan logistik diberikan perlindungan di bawah SKDS 2.0, penguatkuasaan tetap penting bagi mengawal harga dan keuntungan.

“Hilang sudah segala formula dan janji. Inilah falasi realiti ekonomi Madani,” katanya lagi.

Semalam, Kementerian Kewangan melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai BUDI MADANI.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan menetapkan harga runcit diesel RM3.35 seliter bermula pada tengah malam tadi di stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.

Katanya, harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, kerajaan menetapkan harga diesel kepada sektor sektor yang layak iaitu Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang menggunakan kaedah ‘fleet card bagi kenderaan logistik berkelayakan untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.