Rafizi, merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di Jalan Besar di sini, malam tadi.

BUKIT MERTAJAM – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan Kerajaan Perpaduan sebagai pihak underdog dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, pada 12 Jun ini.

Jelas Kon Yeow, ia susulan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditawan Pakatan Harapan sejak 2008 itu menjadi milik calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri yang berlangsung Ogos lalu.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mengingatkan seluruh jentera supaya sentiasa bekerja keras untuk memastikan kerusi itu dirampas semula kali ini.

Kon Yeow

“Kita semua harus ingat bahawa kita memasuki PRK Sungai Bakap sebagai parti yang kalah pada bulan Ogos lalu.

“Jadi penting bagi semua ahli parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk serius pada PRK ini kerana ia bukan tugas yang mudah bagi gabungan pemerintah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Jalan Besar di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, meskipun underdog pihaknya yakin dengan kebersamaan Kerajaan Perpaduan calon PKR yang bakal bertanding itu mampu mencapai kemenangan.

“Kita berani dan yakin menghadapi PRK Sungai Bakap walaupun sebagai underdog, tetapi dengan semangat yang baharu, semangat perpaduan, semangat kebersamaan antara semua parti khususnya UMNO kita akan bertanding dengan keyakinan tinggi untuk mencapai kemenangan pada akhirnya,” katanya.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

PRN Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette