Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti sebanyak enam akaun bank yang dipercayai digunakan oleh sindiket penipuan pelaburan berasaskan jual beli barangan secara dalam talian sehingga menjerat pemain badminton bergu campuran kebangsaan, Lai Pei Jing baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya kini sedang melakukan siasatan lanjut dengan institusi perbankan terlibat bagi membantu siasatan kes tersebut.

Katanya, tindakan itu diambil bagi mendapatkan butiran akaun dan transaksi kewangan yang berkaitan.

“Ini susulan satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pemain badminton kebangsaan yang mengalami kerugian ratusan ribu ringgit setelah ditipu dalam skim pelaburan berasaskan jual beli barangan ‘online’.

“Setakat ini, menerusi hasil siasatan polis telah mengenal pasti enam akaun bank yang digunakan oleh sindiket penipuan ini untuk melesap wang pelaburan pemain badminton itu,” katanya dalam sidang media mingguqn JSJK di Menara KPJ di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan.

Sebelum ini pada 3 Jun lalu, Ramli mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada pemain beregu campuran negara itu yang didakwa ditipu sindiket pelaburan.

Katanya, laporan kejadian dibuat oleh mangsa di Seri Kembangan, Selangor.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut kerana ia melibatkan sindiket penipuan pelaburan,” katanya.

Pei Jing dalam perkongsian mengenai kejadian itu di Instagram  2 Jun lalu erharap semua pihak memberikan dia ruang untuk bertenang.

“Saya ditipu, hampir semua simpanan saya oleh sindiket penipuan. Sejujurnya, ini adalah tamparan hebat kerana ia adalah simpanan hasil kerja keras saya sejak bertahun-tahun,” ujarnya- MalaysiaGazette