JSJK BUkit Aman menumpaskan sindiket penipuan pelaburan IKS di Sabah menggunakan nama JPM ditumpaskan dengan tangkapan 18 individu termasuk dalam Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan industri kecil dan sederhana (IKS) yang menggunakan nama Jabatan Perdana Menteri (JPM)yang bergerak aktif di negeri Sabah.

Seramai 18 suspek lelaki dan wanita disyaki warga tempatan termasuk dalang yang menggerakkan sindiket pelaburan itu berjaya ditahan dalam beberapa siri serbuan berasingan di Sabah, Perak dan Selangor pada 4 dan 5 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua individu yang ditahan itu terdiri daripada 12 lelaki dan enam wanita warga tempatan berusia antara 30 hingga 71 tahun.

“Berdasarkan hasil siasatan, kami mendapati sindiket itu telah beroperasi sejak tahun 2019 dengan menawarkan pelaburan kononnya berkaitan IKS di Sabah.

“Sindiket tersebut menggunakan nama JPM untuk meyakinkan mangsa-mangsa  pelaburan tersebut adalah sah,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak pagi tadi.

Jelas beliau, operasi itu dijalankan secara bersepadu melibatkan kolaborasi PDRM dan National Anti-Financial Crime Center (NFCC) sebagai satu inisiatif
penting dalam usaha untuk memperkukuhkan keselamatan negara dan
membanteras jenayah kewangan.

Lima agensi lain iaitu Lembaga Hasil
Dalam Negeri, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia,
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pasukan Siasatan
Pengubahan Wang Haram, PDRM turut menyokong operasi ini melalui
penyediaan pelbagai sumber, kepakaran, dan sokongan strategik.

Kata Ramli kerjasama ini telah memastikan kejayaan operasi dan mencapai matlamat
menangani jenayah kewangan.

Tambah beliau, kesemua suspek yang ditahan itu berperanan sebagai dalang, moderator, dan pemilik akaun keldai yang digunakan oleh sindiket penipuan tersebut.

Siasatan lanjut pihaknya juga mendedahkan sindiket itu menjadikan aplikasi Whatsapp sebagai medium untuk berkomunikasi, selain mengadakan perjumpaan bersemuka dengan mangsa-mangsa sebelum menjerat mereka.

“Modus operandi sindiket adalah menawarkan pulangan yang tinggi dalam bentuk hibah antaranya melalui pelaburan RM1,000, pelabur dijanjikan keuntungan lumayan RM200,000 dalam tempoh tiga bulan sahaja.

“Kesemua mangsa-mangsa yang terjerat dalam perangkap sindiket telah mendepositkan wang melalui pindahan ke beberapa akaun keldai milik syarikat dan perniagaan seperti diarah sindiket itu,” ujar beliau.

Malangnya, mangsa yang melabur dengan sindiket pelaburan itu tidak menerima sebarang keuntungan sepertimana yang dijanjikan.

Setakat ini, seramai 15 laporan polis telah diterima oleh PDRM dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM2.98 juta dalam kes ini.

Ramli juga memberitahu, pasukan turut merampas sebanyak 28 kad debit pelbagai bank, 24 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua komputer riba dan sebuah tablet selain menyita sebanyak 15 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM69,796.90 di bawah Seksyen 50(1) AMLATFPUAA 2001.

“Penyitaan di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 juga telah dibuat terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dianggarkan bernilai RM75,000.00 selain membeku 38 akaun bank (RM108,131.93) di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001.

“Kesemua 18 suspek kini disambung reman sehingga esok hingga 12 Jun ini untuk membantu siasatan lanjut di Bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan,” ujarnya. – MalaysiaGazette