Dr Akmal Salleh

KUALA LUMPUR – Penarikan subsidi diesel perlu dilakukan secara berkala dan bukan secara total dan mengejut seperti yang diumumkan semalam.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kenaikan mendadak daripada RM2.15 kepada RM3.35 iaitu kenaikan sebanyak RM1.20 seliter mendatangkan kesan kepada ekonomi semasa dan orang ramai.

Pergerakan itu mengesyorkan agar pada permulaan kenaikan hanya sebanyak 20 sen atau pada kadar 10 peratus.

“Dengan kaedah pembayaran subsidi bersasar kepada golongan yang memerlukan masih lagi di peringkat awal dan sudah pasti akan ada masalah-masalah yang tidak boleh dielakkan seperti kelulusan permohonan yang dipohon dan keciciran golongan yang memerlukan, impak ekonomi kepada pengguna tetap akan berlaku dan tidak dapat dielakkan.

“Oleh itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengesyorkan agar subsidi diesel ini perlu dilaksanakan secara berkala.

“Adalah lebih elok jika ia boleh dilaksanakan dengan penarikan subsidi secara kecil dahulu misalnya RM 0.20, atau pada kadar 10% minimum sehinggalah cabaran-cabaran awal dapat diatasi dan situasi ekonomi semasa kembali stabil barulah mula dengan jumlah yang lebih besar secara berkala,” kata Muhammad Akmal.

Katanya, secara umum Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyokong polisi pengstrukturan subsidi kerana ia turut dicadangkan oleh kerajaan Barisan Nasional Ketika mentadbir negara walaupun dibantah teruk pada ketika itu.

“Pemuda UMNO Malaysia faham akan keperluan yang lebih besar dalam usaha untuk membina negara namun dalam masa yang sama biarlah penarikan subsidi ini dilakukan secara berkala agar tidak menyebabkan kejutan ekonomi semasa yang mendadak.

“Kita tidak mahu apabila polisi ini dijalankan, lebih banyak keburukan dari kebaikan yang rakyat perlu tanggung,” katanya dalam kenyataan.

Semalam Menteri Kewangan 11, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bermula pada tengah malam ini di stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.

Katanya, harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, kerajaan menetapkan harga diesel kepada sektor sektor yang layak iaitu Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang menggunakan kaedah ‘fleet card bagi kenderaan logistik berkelayakan untuk membendung kesan’ terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.-MalaysiaGazette