Warga di Jabatan Perdana Menteri ketika hadir pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Jun di Dewan De'Seri Endon, Puspanita, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 10 JUN 2024

PUTRAJAYA – Langkah kerajaan menarik semula subsidi diesel semata-mata bertujuan untuk menyelamatkan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri itu berkata, biarpun langkah tidak popular itu akan mendapat kecaman habis-habisan daripada rakyat namun ia adalah kaedah terbaik untuk dilaksanakan kerajaan.

“Kita terpaksa ambil beberapa tindakan tidak popular untuk selamatkan negara. Siapa mahu penyasaran subsidi ini? Kena tahu apa pun kita lakukan, kita akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan.

“Saya lihat (yang) pakai songkok, serban, jubah, tetapi tipu terus menerus, padahal kita beritahu, penyasaran subsidi semua. Perdana menteri sebelum ini sudah setuju cuma tidak ada tekad politik untuk melaksanakan kerana risikonya ada, tetapi untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri pagi tadi.

Anwar Ibrahim berucap ketika Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Jun di Dewan De’Seri Endon, Puspanita, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 10 JUN 2024

Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mulai tengah malam tadi, harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter.

Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dengan mekanisme bantuan bersasar yang tersedia, kerajaan kini sudah bersedia untuk melaraskan harga diesel bagi semua negeri di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurutnya harga diesel di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia akan ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM). – MalaysiaGazette