Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan beberapa jenis dadah pada sidang media kejayaan menumpaskan dua sindiket berkenaan di IPK Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2024.

SHAH ALAM – Kegiatan dua sindiket pengedaran dadah bernilai RM4.92 juta tumpas selepas lima suspek ditahan dalam dua serbuan baru-baru ini.

Operasi dilakukan di Klang Selatan, Subang Jaya dan Rawang selama dua hari bermula 5 Jun lalu berjaya melumpuhkan sindiket itu yang beroperasi antara tiga hingga enam bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek berusia 30 hingga 50 tahun bertindak sebagai pengedar dan transporter di sekitar Lembah Klang.

“Berdasarkan serbuan dalam kes pertama, kebanyakan dadah dirampas di sebuah rumah dan kereta jenis Honda HRV di Klang Selatan yang bernilai RM4.12 juta membabitkan suspek berusia 30 tahun,” katanya pada sidang media hari ini.

Suspek ada dua rekod lampau berperanan sebagai pengedar di pusat hiburan serta pengedar kecil dan polis berjaya merampas ecstasy seberat 16.8 kilogram (kg), pil erimin 5 (7.2 kg), ketamin (6.7kg), syabu (4.3 kg) dan heroin base (1.1 kg).

Antara dadah yang berjaya dirampas oleh IPK Selangor

Hussein menjelaskan, lokasi bagi kes kedua adalah tangkapan pada 6 Jun di parkir kereta pusat beli belah sekitar Subang Jaya melibatkan empat suspek dengan merampas 20 bungkusan syabu seberat 20.8 kg bernilai RM666,944 yang disimpan dalam satu beg.

Bagi kedua-dua kes berkenaan, pihaknya menyita dua kenderaan jenis Mercedes Benz CLA 200 dan Toyota CHR, sebentuk cincin emas dan wang tunai dengan keseluruhan nilai sitaan berjumlah RM283,205.

Hasil semakan mendapati kelima-lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau serta tiga daripadanya positif dadah dan direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette