Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin bersama isterinya Toh Puan Naimah Khalid bersama dua anaknya Muhammed Amir dan Muhammed Amin hadir ke mahkamah untuk didakwa berhubung gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan 23 pemohon termasuk keluarganya telah memfailkan permohonan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membatalkan pembekuan akaun bank mereka.

Permohonan ini telah difailkan pada minggu lepas di Mahkamah Tinggi di sini.

Selain Daim, pemohon lain yang dinamakan dalam permohonan kebenaran itu ialah isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan anak mereka, iaitu Asnida, Wira Dani dan Muhammad Amin Zainuddin serta 18 syarikat.

18 syarikat itu  ialah AAD Equity Sdn Bhd, Yayasan Haji Zainuddin, Ilham Baru Sdn Bhd, Anchor Point Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Adrihaniz Sdn Bhd, Syarikat Malur Sdn Bhd, Amiraz Sdn Bhd, Ridana Sdn Bhd, Daan Sdn Bhd, Maya Seni Holdings Sdn Bhd, Magical Zone Sdn Bhd, Permatang Maju (M) Sdn Bhd.

Selain itu, Brainstorms Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Gajah3 Resource Centre Sdn Bhd, Ilham Tower Sdn Bhd, dan Selidik Jaya Sdn Bhd.

Dalam afidavit permohonan, pemohon juga telah memohon perintah membatalkan tindakan SPRM menyita harta alih yang dikenakan mengikut Seksyen 50 Akta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLACFT terhadap akaun bank berkenaan.

Pemohon telah menamakan beberapa responden termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan kerajaan Malaysia.

Afidavit juga itu berkata, sehingga hari ini mereka tidak didakwa di mahkamah atas kesalahan yang dikaitkan dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) (Akta AMLACFT) (Perintah Membekukan Harta).

Tun Daim dan pemohon lain memohon pelbagai relif, antaranya untuk mengisytiharkan bahawa pembekuan akaun mereka adalah tidak sah kerana melanggar hak perlembagaan mereka dan didorong oleh mala fide atau berniat jahat.

Difahamkan kes ini akan dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini esok. -MalaysiaGazette