Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sejumlah lebih 68,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dihantar pulang menerusi Program Repatriasi Migran, setakat ini, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, jumlah itu adalah daripada 79,231 warga asing telah menyerah diri secara sukarela kepada kementerian itu sebelum ini.

“Kita (KDN) telah kutip kompaun hampir RM40,000. Empat negara paling ramai yang serah diri adalah dari Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan.

“Ikhtiar kita minta mereka serah diri, bayar kompaun dan hantar pulang. Jika kita semak tiada dokumen, kita letak di depoh imigresen dan kedutaan mereka siapkan dokumen perjalanan. Usaha ini berterusan dan tidak boleh bermusim,” jawab Saifuddin Nasution dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Senator Dewan Negara itu menjawab soalan tambahan Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) yang ingin tahu sejauh mana tindakan dan perancangan yang diambil kepada warga asing tanpa izin di negara ini yang tidak memiliki dokumen sah.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, sehingga kini KDN melalui agensi berkaitan telah menjalankan sebanyak 7,975 operasi di kawasan-kawasan hot spot warga asing.

Menerusi operasi berkenaan, katanya seramai 76,477 warga asing telah diperiksa dimana seramai 20,207 daripanya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka kemudian ditempatkan di depoh imigresen dan kita telah berhubung dengan kedutaan masing-masing untuk menyediakan dokumen perjalanan dan kita hantar balik.

“Setakat ini, kita ada 19 depot imigresen dengan kapasiti sebanyak 13,000. Ia masuk di bawah kapasiti walaupun kita telah tangkap lebih 20,000 dan hantar pulang dengan bantuan kedutaan,” jelas Saifuddin Nasution lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast