Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin pembangkang menimbulkan persoalan kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengenai langkah kerajaan yang memberikan subsidi diesel secara ‘pukul rata’.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman bertanyakan, mengapa subsidi itu diberi tanpa mengira tahap pendapatan, tujuan penggunaan, lokaliti dan jarak serta jenis dan kuasa enjin kenderaan, bagi setiap pemilik yang layak.

“Persoalan saya, adakah kaedah penyaluran secara sama-rata (flat rate) juga akan digunakan untuk pemberian bantuan subsidi petrol (PADU Madani), diandaikan RM100 sebulan, bagi setiap isi rumah yang layak?

“Persoalan saya, apakah tujuan dikongsikan data peribadi yang bersifat ‘unik dan identikal’ ke dalam sistem PADU dan BUDI meliputi maklumat pekerjaan, pendidikan, pendapatan bersih, jumlah tanggungan, komitmen hutang, model kenderaan, lokasi kediaman serta jarak tempat kerja, bagi setiap isi rumah?

“Dengan memberikan contoh pengiraan, antara Razifi dan Lim (bukan nama sebenar), Syahir berkata, kedua-duanya mempunyai pendapatan RM3,000 sebulan, memiliki model kenderaan Myvi 1.3cc yang sama, tinggal berjiran dan bekerja di kilang yang bersebelahan, yang jaraknya 20 kilometer dari kediaman mereka.” katanya menerusi hantaran Facebook Perikatan Nasional.

Bezanya kata beliau, Razifi mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah, manakala Lim hanya mempunyai seorang anak.

“Persoalan saya, adakah jumlah bantuan subsidi petrol (PADU Madani) yang akan disalurkan kepada Razifi dan Lim, ditetapkan pada nilai RM100 yang sama-rata atau pada kadar yang ‘unik dan identikal’ mengikut keperluan dan tanggungan?

“Samada jumlahnya mencukupi ataupun tidak, itu suatu topik perbahasan yang lain,” katanya.

Tambahnya, beliau membangkitkan persoalan itu di luar Parlimen kerana rakyat di bawah sudah mula sangsi dan tertanya-tanya motif sebenar pengumpulan maklumat peribadi yang ‘unik dan identikal’ itu ke dalam sistem PADU dan BUDI.

“Adakah untuk penyasaran (bantuan) subsidi atau bertujuan untuk penyasaran (data peribadi) pengundi.

“Sebagai seorang teknokrat yang disegani, mohon jawapan ikhlas daripada YB senator Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette