KOTA TINGGI – Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dilaporkan lemas dipercayai ketika memancing di kawasan Tasik Empangan Linggiu, Bandar Tenggara, di sini, semalam.
Mangsa, Lans Koperal Muhammad Jamal Abdillah Khazali, 32, yang beralamat di Kampung Sireh, Naka, Kedah meninggal dunia dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian lemas itu pada pukul 2.35 pagi.
“Ketika kejadian, mangsa dilaporkan sedang menaiki bot milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama tiga anggota lain yang turut sama bertugas di tasik empangan itu.
“Bot yang dinaiki terlanggar objek dipercayai kayu hanyut menyebabkan mereka jatuh dari bot berkenaan.
“Tiga mangsa dapat menyelamatkan diri manakala seorang lagi tidak timbul di permukaan air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, usaha mencari mangsa terselamat di sekitar kawasan berkenaan tidak menjumpai sebarang petunjuk keberadaan mangsa sebelum memaklumkan kejadian kepada penyelia bertugas.
Menurut beliau, pegawai dan anggota dari Balai Polis Bandar Tenggara dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dan BBP Bandar Tenggara memulakan operasi mencari dan menyelamat.
“Unit Skuba Bomba juga diatur gerak bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Mangsa kemudian berjaya dijumpai oleh Unit Skuba pada pukul 11.50 pagi tadi pada kedalaman 13 meter dan kedudukan kira-kira tujuh meter dari lokasi kejadian,” katanya.
Yusof berkata, mayat mangsa dibawa naik ke permukaan dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk tindakan prosedur siasatan.
Katanya, kes diklasifikasi di bawah Laporan Mati Mengejut (SDR).- MalaysiaGazette