ADUN Rawang, Chua Wei Kiat.
Chua Wei Kiat

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa seolah-olah hilang ingatan apabila bersuara mengenai subsidi bersasar.

Timbalan Ketua Penerangan Keadilan, Chua Wei Kiat berkata, ironinya Presiden Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) itu semasa memegang jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada tahun 2022 pernah mencadangkan Skim Subsidi Bersasar sebagai langkah kerajaan untuk menjimatkan RM20 bilion setahun.

“Pada waktu itu, Muhyiddin berkata hanya golongan sasar iaitu mereka dalam kumpulan B40 dan B60 sahaja yang berhak menerima subsidi, tidak seperti sekarang di mana semua pihak tanpa mengira status kaya atau miskin, warga asing atau tempatan menikmati subsidi yang sama,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, Muhyiddin sepatutnya faham kerajaan tidak menghapuskan subsidi sepenuhnya sebaliknya mengagihkannya dengan cara yang lebih tepat.

Jelasnya, setakat ini, sebanyak 30,000 pemilik kenderaan diesel telah mula menerima bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 melalui inisiatif Budi Madani.

“Ini berbeza dengan cadangan yang dilontarkan oleh Muhyiddin pada tahun 2022, di mana beliau hanya mencadangkan penyasaran semula subsidi dan tidak menyentuh langsung mengenai bantuan tunai yang perlu diberikan kepada rakyat.

“Subsidi pukal yang ditanggung oleh kerajaan perpaduan adalah sebanyak RM60 bilion setahun yang dibayar kepada syarikat minyak, dan subsidi cara lama ini banyak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang mencuri subsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Ujar beliau, tindakan berkenaan diambil demi memastikan  kes berkaitan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan yang berkaitan dengan anak kepada Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin baru-baru ini berlaku lagi.

Semalam Muhyiddin merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu,  berkata beliau sedih memikirkan kesan kenaikan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter.

Menurutnya, kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56 peratus berbanding sebelumnya amat tinggi dan tindakan itu seolah-olah tidak mengendahkan nasib rakyat yang cukup terbeban dengan inflasi dan kos sara hidup yang sudah tinggi.-MalaysiaGazette